Pages

Tuesday, March 9, 2010

Perutusan Sulung MPP FSKB Sesi 09/10

Assalamu’alaikum wbt dan salam sejahtera.


Salam mahabbah, Salam Perpaduan.


Seinfiniti kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmatNya kita masih bernafas dan berada dalam keadaan sihat sejahtera sehingga ke hari ini. Pertama-tamanya, saya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada warga UKM Kampus KL di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk mewakili anda dalam Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia sesi 09/10.


Rakan seperjuangan yang dikasihi,

Tanggungjawab bukanlah satu anugerah tapi merupakan satu amanah. Tanggungjawab yang digalas ketika ini merupakan satu amanah yang tidak boleh dipandang enteng. Setiap janji yang ditaburkan perlu diusahakan untuk direalisasikan. Prinsip-prinsip inilah yang sepatutnya disemat dalam jiwa setiap ahli majlis perwakilan pelajar malah dalam diri setiap pemimpin yang dipilih. Menyentuh mengenai kepimpinan, kita sebagai mahasiswa seharusnya menyedari hakikat bahawa ke mana sahaja kita melangkah, kita merupakan seorang pemimpin. Pemimpin diri, pemimpin pelajar, malah merupakan bakal pemimpin negara. Pembelajaran di dewan kuliah semata-mata tidak cukup untuk menghadapi persaingan dan percaturan dunia di luar sana sebagai pemimpin. Mahasiwa kini perlu mengglobalisasikan ilmu dan pemikiran serta cakna dengan perubahan arus perdana dengan setiap isu yang berlaku di sekeliling kita perlu diambil kira untuk diambil iktibar dan pengajaran untuk ‘survival’ masa kini. Penyakit ‘tidak pedulisme’ yang semakin menular dikalangan mahasiswa kini perlu segera diatasi kerana penyakit inilah yang menyempitkan pemikiran mahasiswa ketika ini. Sehubungan dengan itu, kita seharusnya mempersiap siagakan diri dengan segala macam ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar.


Rakan mahasiswa yang saya sayangi,

Manifesto untuk membangunkan institusi kemahasiswaan dan menjadikan isu kebajikan anda sebagai prioriti utama tidak akan dibiarkan sekadar angin lalu, tetapi akan berusaha dilakukan sebaik mungkin untuk kebaikan kita bersama. Cadangan, teguran dan saranan daripada anda amatlah dialu-alukan sekiranya terdapat sebarang kekurangan dari pihak saya.


Rakan mahasiswa yang saya hormati,

Menyoroti sejarah penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, tegaknya kita berdiri sebagai warga universiti tercinta ini adalah dari titik peluh dan keringat harapan bangsa kita. Tertubuhnya Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu pada tahun 1992 bukan sekadar satu tradisi untuk mengembangkan sayap keilmuan sahaja malah untuk melahirkan insan kamil yang sentiasa konsisten berkhidmat untuk masyarakat dan meneroka lebih banyak ilmu dan peluang dalam bidang sains kesihatan untuk kesejahteraan semua.


Justeru itu, jangan sia-siakan masa yang masih bersisa di bumi UKM tercinta. Rebut segala peluang yang ada untuk mengembang dan menyerlahkan kehebatan potensi diri yang tersimpan selama ini. Kitalah pewaris bangsa, kitalah yang bakal menentukan halatuju negara! Akhir kata, saya percaya dengan sokongan anda semua, kita dapat bersama-sama membangunkan era perubahan bagi melakukan anjakan paradigma dalam diri mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu untuk menempa kecemerlangan bukan sahaja dalam dunia akademik malah menjadi ‘survivor’ dalam persaingan dan percaturan dunia di luar sana. Bersama-sama kita mampu melakukannya!

Sekian terima kasih.



Salam Mahasiswa,

Bergerak seiringan,memacu perubahan.


Nur Ili Mohamad Tarmizi

Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu Sesi 09/10

Universiti Kebangsaan Malaysia

0 comments:

Post a Comment

 
MMORPG Games - MMORPG List - Video Game Music