Pages

Thursday, December 30, 2010

JPA dan PTPTN : Solusi dalam masa terdekat dan Info Tambahan


Assalamua'laikum w.b.t dan Salam Sejahtera

Terlalu banyak keluhan yang diterima berikutan pelajar-pelajar mengalami krisis debit kerana duit JPA yang masih tidak nampak bayangnya sehinggakan wujud gurauan yang mungkin ada pelajar yang sanggup mencari kerja untuk menyara kehidupan di universiti buat sementara waktu ini. Ini tidak kurang juga dengan beberapa pelajar yang mengalami masalah kemasukan PTPTN. Di sini terdapat informasi yang dapat membantu anda:) Penyelesaian jangka masa pendek adalah melalui BORANG PENDAHULUAN BIASISWA.
Berikut merupakan penjelasan lanjut:
  • Merupakan bantuan kewangan awal yang diberikan kepada pelajar-pelajar tajaan biasiswa/pinjaman yang masih belum menerima kemasukan duit tajaan/pinjaman pada semester tersebut (sertakan salinan surat tawaran dari penaja jika baru menerima pinjaman)
  • Mendaftar pada semester yang dipohon
  • Tidak berhutang pada semester sebelumnya
  • Sudah mendapat kelulusan perlanjutan tajaan bagi pelajar yang telah tamat tajaan. Sila sertakan surat kelulusan perlanjutan tajaan dari penaja
  • Kadar maksimum pendahuluan ialah RM 500.00
  • Setakan sekali salinan keputusan peperiksaan semester lepas

Sumber dari Unit Kebajikan Pelajar menyatakan bahawa borang-borang yang telah siap diisi boleh diserahkan kepada Pn. Wan Roshana, pegawai Unit Kebajikan yang akan ke Kampus KL pada setiap hari Rabu, borang akan diproses pada hari Khamis dan sekiranya tiada halangan,insya-Allah bantuan kewangan tersebut boleh diperolehi pada minggu yang seterusnya. Tiada caj yang dikenakan dalam perkhidmatan pendahuluan biasiswa ini dan jumlah pendahuluan yang diberikan akan dimasukkan ke dalam sistem akaun kewangan pelajar (bermakna pelajar tidak perlu membayar kembali secara tunai, hanya dipotong di dalam akaun pelajar).

Anda boleh mendapatkan borang ini daripada saya sendiri, atau di ruang borang-borang di Tingkat 5 ,Blok E atau boleh muat turun di pautan :
http://pkukmweb.ukm.my/~bendahari/borang/ukp/FR01%20-%20Borang%20Pendahuluan%20.doc


Khas buat pelajar PTPTN:
Saya menerima beberapa aduan daripada pelajar yang masih belum menerima sebarang transaksi daripada PTPTN. Setelah menghubungi Bahagian Kewangan Pelajar, saya dimaklumkan bahawa pelajar-pelajar yang masih belum menerima transaksi ini merupakan senarai yang akan menerima transaksi PTPTN untuk kali kedua pada bulan Januari. (maaf, tidak pasti hujung atau awal januari). Harap dapat bersabar atau sila isi Borang Pendahuluan Biasiswa:)


Khas buat pelajar yang tajaan biasiswa/pinjaman yang diberhentikan untuk semester ini kerana PNGK yang rendah bagi dua semester lepas atau sebarang sebab lain:
Masih ada harapan:)Anda disarankan untuk mengisi BORANG BANTUAN KHAS. Syarat-syarat permohonan seperti yang telah dinyatakan dalam post 29 November sebelum ini adalah seperti berikut:
  • Warganegara Malaysia
  • Pelajar Pra Siswazah yang mendaftar pada semester yang dipohon
  • Bantuan bagi menjelaskan yuran pengajian tertunggak sahaja (maksimum RM 1000),bukan untuk sara hidup!
  • Pendapatan keluarga kurang dari RM 2000.00 sebulan
  • Borang permohonan yang lengkap haruslah dikemukakan terus kepada Unit Kewangan Pelajar UKM
  • Tidak mendapat sebarang tajaan atau tempoh tajaan yang telah tamat atau tajaan tidak dibayar pada semester dipohon.

Sekalipun tarikh tutup permohonan Bantuan Khas ini adalah pada 31 Disember 2010, alhamdulillah Unit Kebajikan menyatakan bahawa mereka masih menerima permohonan daripada pelajar Kampus Kuala Lumpur.Borang ini boleh dimuat turun di pautan:

http://pkukmweb.ukm.my/%7Ebendahari/borang/ukp/Borang%20Bantuan%20Khas.doc

Borang-borang Pendahuluan Biasiswa dan Bantuan Khas yang telah siap diisi dan disertakan dengan lampiran lengkap boleh dikumpulkan kepada saya secepat mungkin sebelum hari Rabu (untuk diserahkan pada pegawai Bangi yang datang pada hari tersebut) atau anda boleh terus menyerahkannya kepada pegawai tersebut di Tingkat 5, Blok E pada hari Rabu (9 am-3.30 pm).

Diharapkan informasi ini dapat membantu anda! Semoga hal penting ini dapat disebarkan kepada yang lain. Kerjasama tertinggi anda sangat diharapkan.Terima kasih:)

Melahirkan Mahasiswa Berinisiatif!

Wednesday, December 29, 2010

Perkembangan Terkini Mesin ATM

Assalamua'laikum w.b.t dan Salam Sejahtera

Pertama sekali,mohon maaf semua kerana sudah lama tidak memaklumkan anda tentang perkembangan isu ini . Setelah berkali-kali perjumpaan dan perbincangan yang dilakukan, alhamdulillah terdapat perkembangan baru yang mungkin mengukir senyuman di bibir kita:) Terdapat dua mesin ATM yang akan diwujudkan iaitu CIMB dan juga BIMB. CIMB akan dibina dalam masa terdekat ini di bawah bahagian TIBE manakala BIMB akan dibina setelah proses renovation Jabatan Bendahari siap dilakukan pada semester akan datang di Blok E.


Pihak penolong pendaftar kampus memaklumkan pihak CIMB melakukan site
verification semalam sebagai susulan prosedur tertentu yang telah dijalankan sebelum ini bagi membina mesin ATM. Jika segala prosedur telah siap dan pemasangan kabel telah dilakukan, insya-Allah proses pemasangan akan berjalan selama seminggu jikalau tiada sebarang halangan. Sama-sama kita doakan semoga proses pemasangan tersebut dapat dijalankan dengan segera.

Saya yakin semua pasti mengharapkan pembinaan mesin ATM BIMB (Bank Islam Malaysia Berhad) secepat mungkin, namun pembinaan mesin ATM CIMB ini merupakan solusi paling cepat yang boleh dilakukan bagi memberi kemudahan mesin ATM kepada para pelajar.

Di samping itu, pihak pengurusan kampus juga menerima aduan pelajar tentang ketiadaan vending machine di kampus. Buat masa ini, pengambilan dan pemilihan tender sedang dilakukan untuk menempatkan 2 vending machine di kampus iaitu di Blok E dan foyer dewan kuliah .
Mohon maaf atas segala kekurangan dalam mengendalikan pembawaan isu mesin ATM ini, semoga kita boleh memanfaatkan kemudahan yang ada:)

Tuesday, December 28, 2010

Sijil LI utk pelajar forensik tahun akhir


Assalamua'laikum w.b.t dan salam sejahtera

Setelah merujuk ke pihak BAKA, staf yang menguruskan sijil latihan amali menyatakan bahawa sijil bagi pelajar forensik masih belum ada. Ini berikutan bahawa,beberapa prosedur perlu diikuti iaitu:

  • pelajar perlu menghabiskan latihan amali dengan lengkap
  • laporan penyelia sampai ke tangan pensyarah
  • pensyarah memberikan gred pelajar dan seterusnya memaklumkan ke bahagian BAKA
  • setelah itu, barulah Sijil Latihan Amali dapat dikeluarkan
Oleh kerana pelajar forensik tahun akhir belum lagi menjalani sesi latihan amali (praktikal) yang terakhir, maka prosedur seperti di atas masih lagi belum lengkap.

Insya-Allah selepas pensyarah selesai memberikan penilaian terhadap prestasi anda semasa latihan amali,sijil amali dapat dikeluarkan:)

Jika terdapat sebarang pertanyaan lanjut, bolehlah berhubung dengan pihak BAKA. Sekian.

Monday, December 27, 2010

Penjelasan isu JPA,PTPTN dan yuran


Assalamua'laikum w.b.t dan salam sejahtera

Dalam masa 2 minggu pembukaan semester baru ini, terdapat pelbagai isu yang timbul dan fokusnya tentu sekali tidak akan lari daripada masalah KEWANGAN : isu JPA,PTPTN dan yuran. Kami di pihak MPP berusaha mendapatkan penjelasan dan juga seharusnya ingin membantu mengatasi masalah yang anda hadapi. Sila teliti penjelasan berikut:

JPA: Berdasarkan panggilan yang dilakukan kepada Bahagian Kewangan Pelajar (BKP), pihak JPA telah melakukan pembayaran untuk pelajar tahun satu dan pembayaran bagi pelajar-pelajar lain akan berlaku agak lewat berikutan masalah di pihak JPA sendiri.

Sumber dari MPP di UKM Bangi: Pegawai Bendahari UKM menyatakan bahawa pihak JPA telah melakukan proses pembayaran biasiswa secara berperingkat dengan menyelesaikan bayaran kepada semua pelajar-pelajar tahun 1 & 2 dahulu, dan akan disusuli bayaran kepada pelajar-pelajar tajaan biasiswa tahun 3 dan 4 secara berperingkat.

Buat mahasiswa tahun akhir yang sedang berhempas-pulas dengan tesis dan bagi mereka yang berada di kolej semasa cuti semester terutamanya, diharapkan anda semua dapat betul-betul bersabar. Dugaan sebegini sememangnya menguji daya rintangan kita terhadap masalah yang lebih besar di masa akan datang. Kuatkan semangat 'survival'!


PTPTN : Rata-rata pemerhatian yang saya lakukan, pelajar yang menerima PTPTN telah pun menerima transaksi pembayaran. Bagi mereka yang masih belum menerima sebarang transaksi dari pihak PTPTN, sila berikan no matrik anda kepada saya untuk dirujuk kepada Bahagian Kewangan Pelajar (BKP) UKM. Anda juga boleh mendapatkan maklumat berhubung masalah PTPTN anda sendiri kepada BKP di talian 03-89213113 atau 03-89213180.


Yuran: Pelbagai masalah yuran yang dialami pelajar merangkumi masalah yuran pengajian dan yuran penginapan kolej. Sekiranya masalah yang dialami oleh pelajar adalah kes yang sama, saya boleh merujuk hal ini kepada pihak yang berkenaan secara serentak. Namun, disebabkan masalah yang diterima dari pelajar adalah pelbagai, saya mengesyorkan anda merujuk terus kepada pihak yang berkenaan.
  • Masalah yuran pengajian: Pihak BAKA menyarankan anda merujuk masalah ini ke Bahagian Kewangan Pelajar (BKP) di talian 03-89213113 atau 03-89213180. Beri penjelasan tentang kes anda seperti berapa yuran yang sepatutnya dibayar, berapa bayaran jam per unit bagi kursus anda dan sebagainya.
  • Masalah yuran kolej: Isu ini perlu dirujuk ke pihak pengurusan kolej. Beri penjelasan tentang kes anda di kaunter pejabat kolej. Sebagai contoh, anda menginap di luar semester hanya untuk seminggu, namun anda dicaj untuk bayaran sebulan..beri penjelasan tentang tarikh menginap luar semester yang telah anda isi di dalam borang dan pada tarikh bila anda memulangkan kunci.
Secara jujurnya, pihak kami ingin membantu anda secara individu,case-by-case terutamanya dalam isu yuran,namun disebabkan terlalu banyak kes yang berbeza dan setiap kes memerlukan penjelasan yang berlainan,saya menyarankan anda merujuk sendiri kepada pihak-pihak seperti di atas bagi mempercepatkan proses penyelesaian.

Mohon maaf sekiranya terdapat kekurangan dalam penjelasan di atas dan atas sebarang kekurangan dalam membantu anda mengendalikan isu-isu ini. Semoga kita dapat sama-sama bertindak bagi mengatasi isu-isu ini bersama. Bagi mereka yang mahu berhubung dengan pihak pengurusan kewangan dan pengurusan kolej,pastikan anda berkomunikasi dan berhubung dengan mereka secara berhemah. Sekiranya mendapat respons yang kurang memberangsangkan,mengertilah bahawa mereka hanya insan biasa yang perlu melayani pertanyaan dan aduan dari ramai lagi orang seperti kita. Maka,bertindaklah dengan rasional.

Semoga anda semua memperoleh manfaat dan informasi dari post ini. Jika terdapat sebarang persoalan lagi, bolehlah adukan ke nurilimt@gmail.com atau ilipmukm@gmail.com. Sekian.

Melahirkan Mahasiswa Cakna!


Sunday, December 26, 2010

Tahniah kepada organisasi dan peserta kursus!

25 Disember 2010-Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi,Kursus Pra-Perkahwinan telah berjalan dengan lancar sepanjang 2 hari ini. Terlalu banyak manfaat yang diperolehi daripada kursus ini bukan sahaja dalam ruang lingkup perkahwinan sahaja malah turut menyentuh tanggungjawab dan cara hidup sebenar sebagai muslim dan mukmin. Seharusnya kursus ini bukan dihadiri untuk melengkapkan syarat semata-mata malah untuk meningkatkan pengetahuan dan mempersiapkan diri untuk membina institusi kekeluargaan yang sakinah dan dilimpahi rahmat di sisiNya.

Khusyuk mendengar ceramah

Komunikasi 2 hala
Tambahan pula, perlu dihayati bahawa perkahwinan bukanlah untuk kepuasan dan melengkapi keperluan individu sahaja tetapi merupakan tanggungjawab kita sebagai khalifah untuk meluaskan dakwah dan menyuburkan bumi Allah ini dengan hasanah, perkara-perkara yang baik, melalui anak-anak dan keturunan yang bakal dilahirkan nanti.
Kalam cinta Ilahi dalam surah Az-Zariyat ayat 56 menyebut :

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Setiap perkara yang dilakukan kerana Allah merupakan ibadah dan perkahwinan juga merupakan salah satu ibadah yang menjadi sunnah Rasulullah junjungan kita. Janganlah perjalanan menuju pembinaan bahtera suci ini dicemari dengan pergaulan yang tidak terbatas dan melalaikan termasuk melalaikan hati dari mengingati Allah Taala,jagalah hati (say NO to COUPLE and DATING culture):) Kalau berkehandakkan hubungan yg dredhaiNya,berusahalah untuk mengekalkan dan menjaga hubungan dengan cara yg mengikut syariat yg ditetapkan Ilahi.Ingat!kita bakal menjadi suami,isteri, ibu dan bapa. Bersedia 'menjadi' insan yang soleh dan solehah sebelum 'mencari' pasangan dan sentiasalah berusaha 'menjadi' hamba dan khalifah Allah yang taat untuk membimbing keluarga.

Jangan pula perkahwinan nanti menyumbang kepada statistik perceraian seperti tahun 2008 iaitu 22,289 kes yang mencatatkan peningkatan hmpir 50% berbanding tahun 2000:13,605 kes,itu belum lagi termasuk kes kecelaruan rumah tangga. Insya-Allah,sekiranya niat membina rumahtangga itu ikhlas kerana tuntutan dan mengharapkan redhaNya,ia akan bahagia ke akhirnya.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada organisasi program (dari MT,Exco dan AJK :>) dan E-Tijarah Enterprise yang bersusah-payah merealisasikan program ini dengan jayanya dan penghargaan dan tahniah buat para peserta. Tanpa anda semua,apa lah erti kursus ini dijalankan. Mohon maaf atas segala kekurangan. Semoga usaha sekecil cuma ini mendapat ganjaran di sisiNya. Semoga Allah redha:)
Gambar kenangan antara beberapa peserta, organisasi yang terlibat dan pihak E-tijarah Enterprise. Setinggi tahniah dan terima kasih!


Friday, December 24, 2010

Kursus Kahwin di KTSN !

Alhamdulillah, setelah sekian lama Kursus Kahwin bertandang kembali ke KTSN. Dengan had peserta seramai 150 orang, penyertaan terbuka kepada seluruh warga UKM.
  • Diharapkan semua peserta dapat mengambil perhatian akan jadual perjalanan bas seperti berikut:
25 Disember 2010 (Sabtu) : 7.30 am (TIBE), 6.00 pm (Bus stop KTSN)

26 Disember 2010 (Ahad) : 7.30 am (TIBE), 2.00 pm (Bus Stop KTSN)

No. Kenderaan : BJK 7578

Diharapkan semua dapat menepati masa perjalanan.

  • Tentatif program:
Info: Kursus MBKPI diwajibkan sebelum berkahwin. MBKPI ialah Modul Bersepadu
Kursus Praperkahwinan Islam. Ia digubal pada 1996 dan disemak semula pada 2002
dan 2006 untuk ditambah mutu. Sijil kekal dan diiktiraf seluruh Malaysia. Selamat
berkursus. Talian tak bebas tol: 017-3581288/017-6141420.
Justify Full
Kehadiran akan diambil pada setiap sesi:)

Perkahwinan merupakan satu ikatan yang suci dalam pembinaan rumah tangga. Maka, proses ke arah itu juga memerlukan perhubungan yang bertepatan di sisi syari'at, bukan dicemari dengan budaya 'couple', 'dating' dan sebagainya. Diharapkan kehadiran ke Kursus Kahwin bukan sahaja dilakukan untuk menepati syarat dan mendapatkan sijil sahaja malah dijadikan platform untuk mendapatkan ilmu demi kebahagiaan dan kesejahteraan keluarga.Ikhlaskan niat keranaNya.Selamat berkursus!

Perhatian penting berkenaan PPP!!







Berkuatkuasa 1 Januari 2011, PPP bukan lagi dibawah struktur TNC HEPA (Hal Ehwal Pelajar & Alumni)


PPP akan dimasukkan di bawah struktur TNC HEAA (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) yang berada kini di bawah Prof Dato' Ir Dr Hassan Basri.

Justeru, segala kelulusan aktiviti pelajar serta urusan berkaitan aktiviti pelajar diserahkan kepada JPPel (Jabatan Perkhidmatan Pelajar).

Sekian,harap maklum.

Selamat Kembali ke UKM!

Mulakan semester baru ini dengan azam yang lebih utuh dan usaha yang konsisten. jangan berputus-asa atau jangan terlalu leka dengan keputusan peperiksaan yang lalu. Ambil iktibar perkara yang telah lalu dan terus bergerak jauh ke hadapan. INSYA-ALLAH,KITA PASTI BOLEH!

Friday, December 10, 2010

Sudahkah anda menyemak keputusan peperiksaan?

Assalamua'laikum w.b.t

Salam 4 Muharram kepada semua:)

Bagi yang masih belum mengambil maklum, anda boleh menyemak keputusan peperiksaan Semester I Sesi Akademik 2010- 2011 anda di http://www.ukm.my/smpweb atau menerusi sms dengan menaip UKM RESULT<> dan hantar ke 15888. Slip keputusan boleh diambil di Bahagian Akademik (BAKA) mulai 20 Disember 2010.Semoga berjaya!

Monday, November 29, 2010

Perhatian:Bantuan Khas Yuran Pengajian Semester 2


Perhatian buat pelajar Pra-Siswazah,Jabatan Bendahari UKM menawarkan bantuan khas bagi bayaran yuran pengajian semester 2 sesi 2010/2011.

Berikut adalah syarat-syarat permohonan:

  1. Warganegara Malaysia
  2. Pelajar Pra Siswazah yang mendaftar pada semester yang dipohon
  3. Bantuan bagi menjelaskan yuran pengajian tertunggak sahaja (maksimum RM 1000),bukan untuk sara hidup!
  4. Pendapatan keluarga kurang dari RM 2000.00 sebulan
  5. Borang permohonan yang lengkap haruslah dikemukakan terus kepada Unit Kewangan Pelajar UKM
  6. Tidak mendapat sebarang tajaan atau tempoh tajaan yang telah tamat atau tajaan tidak dibayar pada semester dipohon.

Anda boleh mendapatkan borang permohonan dan syarat-syarat permohonan lanjut di laman web Jabatan Bendahari UKM Bahagian Kewangan Pelajar segera di:http://pkukmweb.ukm.my/~bendahari/

Tarikh Tutup : 31 Disember 2010




 
MMORPG Games - MMORPG List - Video Game Music