Pages

Monday, November 29, 2010

Perhatian:Bantuan Khas Yuran Pengajian Semester 2


Perhatian buat pelajar Pra-Siswazah,Jabatan Bendahari UKM menawarkan bantuan khas bagi bayaran yuran pengajian semester 2 sesi 2010/2011.

Berikut adalah syarat-syarat permohonan:

  1. Warganegara Malaysia
  2. Pelajar Pra Siswazah yang mendaftar pada semester yang dipohon
  3. Bantuan bagi menjelaskan yuran pengajian tertunggak sahaja (maksimum RM 1000),bukan untuk sara hidup!
  4. Pendapatan keluarga kurang dari RM 2000.00 sebulan
  5. Borang permohonan yang lengkap haruslah dikemukakan terus kepada Unit Kewangan Pelajar UKM
  6. Tidak mendapat sebarang tajaan atau tempoh tajaan yang telah tamat atau tajaan tidak dibayar pada semester dipohon.

Anda boleh mendapatkan borang permohonan dan syarat-syarat permohonan lanjut di laman web Jabatan Bendahari UKM Bahagian Kewangan Pelajar segera di:http://pkukmweb.ukm.my/~bendahari/

Tarikh Tutup : 31 Disember 2010




Sehari 'Bersidang' di Parlimen


25 November 2010 –Dengan tema : ‘Bersama membina Kebersamaan’,Seminar Pemimpin Muda Malaysia yang mengumpulkan sekitar 300 pelajar yang terdiri dripada Majlis Perwakilan Pelajar IPT dan pemimpin pelajar telah diadakan di Parlimen Malaysia. Majlis yang bertempat di salah satu bangunan bersejarah ini merupakan anjuran pihak Parlimen dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti Malaysia (MAKLUM).


Majlis bermula dengan Tayangan Video Dokumentasi Jubli Emas Parlimen Malaysia (1959-2009) dan diikuti oleh Upacara Perasmian yang disempurnakan oleh Y.A.B Tan Sri Dato’ Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan perdana Menteri Malaysia bersama-sama Y.B Tan Sri Abu Zahar Ujang (Yang di-Pertua Dewan Negara) dan Y.B Datuk Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi).

Program menjadi lebih menarik dengan lawatan ke Dewan Negara dan juga ke Dewan Rakyat yang sedang bersidang. Sayang sekali peserta tidak dibenarkan untuk mengambil gambar, namun peluang untuk menjejakkan kaki ke kedua-dua dewan ini mungkin sekali seumur hidup sahaja. Taklimat ringkas berkaitan Dewan Rakyat dan Dewan Negara termasuk Yang-diPertua dan keahliannya turut diberikan. Di sini, kami berpeluang menyaksikan keadaan dalam Dewan Negara sendiri dan bagaimana persidangan dalam Dewan Rakyat berlangsung.



Gambar Hiasan: Dewan Rakyat (kiri), Dewan Negara (kanan)



Kemudian, kami dihidangkan dengan wadah ilmu yang cukup bermakna melalui tiga perbincangan panel yang dengan ahli-ahli panel jemputan yang tersohor dalam bidang masing-masing iaitu:

· 1-Sistem Pemerintahan Demokrasi Raja Berperlembagaan

1 Y.Bhg. Tan sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh

2 Y.Bhg. Datuk Johan Jaafar

3 Y.Bhg. Prof Dato’ Dr. Sidek baba

4 Y.Bhg. Dato’ Faiza bin Haji Thamby Chik sebagai moderator

· 2-Malaysia Era Transformasi

1 Y.B Datuk Dr. S. Subramaniam

2 Y.Bhg. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah

3 Y.Bhg. Dato’ Wira Dr. Affifudin bin Hj Omar

4 Y.B. Senator Datuk Akbar bin Ali sebagai moderator

· 3-Pembinaan Sebuah Negara Bangsa

1 Y.Bhg. Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim

2 Y.B. Senator Dato’ Dr. Firdaus bin Hj Abdullah

3 Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Ir. Zaini Ujang

4 Y.B Dato’ Razali Ibrahim sebagai moderator

Perbincangan-perbincangan yang diadakan ini mengupas tentang pelbagai perkara pokok seperti Perlembagaan Malaysia, Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, 4 Tonggak Transformasi Malaysia dan 5 Tonggak Pembinaan Negara Bangsa.

Seterusnya Majlis Penutup disempurnakan oleh Y.B. Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin bin Haji Mulia, Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Penganjuran program ini memberi pendedahan kepada peserta tentang pelbagai informasi berkenaan parlimen dan hala tuju pentadbiran negara. Belia seperti kita seharusnya cakna dan prihatin akan perkara dan isu-isu yang sedang berlaku dalam pihak pentadbiran negara. Kelebihan 11.9 juta belia (15-40 tahun) di Malaysia seharusnya digunakan semaksima mungkin untuk menyumbang ke arah kemajuan Malaysia. Syabas di atas usaha murni penganjuran program Seminar Pemimpin Muda ini!

Satu perkara yang perlu diberi perhatian, Pelembagaan Persekutuan Malaysia yang sedia ada kini telah dibentuk berasaskan kepada dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan. Walau bagaimanapun, ia turut mendapat ‘sentuhan’ daripada Suruhanjaya Reid pada 1956 dan diletakkan sebagai ‘undang-undang tertinggi’ Malaysia. Sewaktu tekun mendengar forum tersebut disampaikan, tiba-tiba seorang sahabat berbisik: ‘Boleh ke kalau saya nak kata tiada undang-undang tertinggi selain Al-Qur’an dan As-Sunnah’??Fikir-fikirkan…

Mahasiswa Menjana Kecemerlangan

Wednesday, November 24, 2010

PTPTN lupus RM59juta untuk 2,162 pelajar

Berita Harian 23 November 2010

TEMERLOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melupuskan pinjaman berjumlah RM59 juta kepada 2,162 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang mendapat keputusan Kelas Pertama dari Januari hingga Julai lalu.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said, menasihatkan pelajar yang terbabit supaya menghubungi PTPTN segera bagi
urusan pembatalan kontrak yang ditandatangani sebelum ini ketika mereka membuat pinjaman. Jika mereka gagal menghubungi PTPTN, kontrak ini akan dikira terus berjalan dan mereka perlu menjelaskan pinjaman yang dibuat, katanya selepas merasmikan Kembara Muhibah 1Malaysia Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi di sini, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata lebih 190,000 peminjam yang dihubungi langsung tidak memberi maklum balas terhadap surat yang dihantar PTPTN berhubung pembayaran balik pinjaman. Saya menasihati mereka supaya menghubungi atau datang ke pejabat PTPTN untuk berunding soal pembayaran balik pinjaman, jika tidak, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka, katanya. BERNAMA

Bagi yang masih belum mengambil maklum:

Untuk makluman semua peminjam, PTPTN dalam proses untuk menawarkan pertukaran pinjaman (3%) kepada pembiayaan pendidikan ujrah (1%) secara berperingkat.

Langkah-langkah menukar pembiayaan anda:
1.) Pergi ke laman web PTPTN.

2.) Isikan nombor Kad Pengenalan dan emel.

3.) Selepas itu, pihak PTPTN akan menghantar mesej ke emel anda.

4.) Satu pautan khas akan dihantar melalui alamat emel yang didaftarkan supaya anda dapat mengisi maklumat-maklumat wajib untuk penukaran pinjaman kepada pembiayaan pendidikan PTPTN.

5.) Anda mestilah memastikan maklumat yang diisi adalah tepat dan betul sebelum menekan butang "Teruskan" bagi tujuan pendaftaran. Setiap pendaftaran yang telah dihantar TIDAK boleh dibuat pindaan lagi.

6.) Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi PTPTN HOTLINE di talian 03-2080 4455.


Bagi mendapatkan:


Maklumat lanjut ?Layari : http://www.ptptn.gov.my/web/guest/anjung


Melahirkan Mahasiswa Peka dan Cakna, Dapatkan Hak Anda!

Sunday, November 21, 2010

Lebih 1/2 graduan UKM dapat pekerjaan sebaik lulus pengajian, menurut kajian pengesanan

Sumber : UKM News Portal

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Saliman Leman

BANGI, 10 Nov. 2010 – Seramai 3,880 graduan UKM iaitu 54.2 peratus daripada 7,159 yang tamat pengajian mereka pada sesi akademik 2008-2009 April tahun lalu telah mendapat pekerjaan dalam tempoh lima bulan menjelang hari konvokesyen mereka.

Daripada yang selebihnya 834 (11.36 peratus) sedang menunggu penempatan pekerjaan, 447 (6.24 peratus) melanjutkan pengajian, 187 (2.6 peratus) meningkatkan kemahiran dan 1,811 yang lain (25.59 peratus) belum bekerja waktu itu.

Demikian menurut Kajian Pengesanan Graduan UKM 2009 dilaksanakan oleh Pejabat Perhubungan Alumni (PPA).

Laporan kajian itu menunjukkan keadaan itu adalah jauh lebih baik daripada pencapaian 2006 apabila cuma 1,968 graduan daripada 5,105 sudah bekerja dalam masa kajian yang sama dengan 2,463 lagi (48.25 peratus) belum bekerja semasa konvokesyen mereka.

Perangkaan bagi 2007 adalah 3,507 (54.41 peratus) sudah bekerja dan 2,019 (31.42 peratus) belum bekerja. Bagi 2008 seramai 3,663 (53.70 peratus) sudah bekerja daripada 6,825 graduan dengan 1,892 (27.70 peratus) belum bekerja dalam tempoh lima bulan hingga konvokesyen.

Kajian itu juga mendapati graduan pergigian paling mudah mendapat pekerjaan kerana semua 60 lulusan daripada Fakulti Pergigian bagi sesi 2008-2009 sudah mendapat pekerjaan dengan hanya empat menunggu penempatan bekerja sewaktu konvokesyen mereka pada Ogos tahun lalu.

Bagi graduan perubatan pula 190 daripada 211 telah bekerja, sembilan menunggu penempatan dengan 12 lagi belum bekerja ketika itu atas beberapa alasan.

Bekas Pengarah PPA Prof Dato’ Dr Shaharuddin Ahmad berkata hasil kajian itu menjadi kayu pengukur kebolehan graduan UKM dalam pasaran pekerjaan selain mendapatkan maklum balas mengenai proses pembelajaran mereka di UKM.

Maklumat diperolehi boleh membantu pihak pengurusan universiti menyediakan pendidikan lebih berkesan dan berkualiti pada masa depan dan dapat pula digunakan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti graduan dan proses penyampaian dan perkhidmatan yang diberikan, kata beliau.

Menurut laporan itu, fakulti lain dimana lulusan dari UKM mudah mendapat pekerjaan ialah graduan daripada Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEP). Seramai 495 (58.24 peratus) daripada 850 pelajar yang tamat pengajian di FEP melaporkan mereka sudah pun bekerja terutama mereka yang mengambil bidang perbankan dan kewangan.

Ini diikuti graduan Fakulti Pengajian Islam (FPI) iaitu 361 (51.79 peratus) daripada 697 pelajar yang sudah pun mendapat pekerjaan dalam masa tersebut dengan sebahagian besarnya sama ada menjadi guru, pegawai perbankan merangkap perunding kewangan Islam, kadi atau kaunselor.

Perangkaan graduan sudah bekerja mengikut fakulti lain adalah Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu – 237 (50.97 peratus); Fakulti Pendidikan – 495 (48.63 peratus); Fakulti Kejuruteraan – 193 (45.63 peratus) ; Fakulti Undang-Undang - 44 (41.12 peratus) ; Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat – 110 (35.71 peratus) ; Fakulti Sains dan Teknologi – 385 (35.48 peratus) dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan 199 (25.52 peratus).

Mereka yang belum bekerja memberi alasan sedang menunggu untuk penempatan pekerjaan (21.41 peratus), sedang berusaha mendapatkan pekerjaan (49.25 peratus) dan yang merancang untuk melanjutkan pengajian (13.63).

Laporan itu juga menunjukkan ramai graduan dari Fakulti Undang-undang (70.42 peratus) sedang mengikuti kursus/skim latihan kerana mereka sememangnya perlu mengikuti program ‘chambering’ terlebih dulu sebelum boleh menjadi peguam cara dan peguam bela.

Dari segi pendapatan pula, kajian itu mendapati peratusan bulanan tertinggi ialah dalam lingkungan RM5000 ke atas dinikmati 331 graduan, RM3001-RM5000 (929 graduan); 517 berpendapatan antara RM2501-RM3000; 625 – RM2001-RM2500; 659 – RM1501-RM2000; 458 – RM1001-RM1500, 290 – antara RM501-RM1000 dan 71 graduan lain menerima pendapatan kurang dari RM500 sebulan.

Kajian itu mendapati majoriti dari mereka 2,019 (52.05 peratus) bekerja dalam sektor kerajaan diikuti sektor swasta tempatan 25.18 peratus (977 graduan),multinasional asing 9.15 peratus (355 graduan). Sektor pekerjaan paling kurang disertai adalah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) iaitu hanya 34 orang atau 0.88 peratus.

Mengenai penilaian graduan terhadap kurikulum, kajian itu menunjukkan mereka memberikan penilaian gred A- bagi program kesesuaian kandungan pengajian dan mata pelajaran wajib universiti.

Mereka juga memberi penilaian B+ terhadap imbangan komponen teori dan amali, program latihan industri, mata pelajaran wajib ko-kurikulum, kepelbagaian mata pelajaran ko-kurikulum dan menyediakan pelajar untuk menghadapi dunia pekerjaan.

Kajian itu juga mendapati graduan ingin mengikuti program tambahan lain bagi meningkatkan lagi kemahiran mereka seperti kemahiran bahasa Inggeris (57.4 peratus), kemahiran inter-personel (55 peratus), kemahiran ICT (48.5 peratus), pembangunan kerjaya (42.1 peratus) dan latihan keusahawanan (35.2 peratus).

Ini penting kerana ia boleh memberi nilai tambah kepada graduan yang seterusnya dapat meningkatkan lagi nilai pemasaran mereka dalam pasaran pekerjaan, kata kajian itu

http://pm-ukm.blogspot.com/2010/11/lebih-separuh-graduan-ukm-dapat.html

Selamat Bercuti!


Semoga kita memanfaatkan cuti secara optimum!

Mahasiswa Memangkin Perubahan

Wednesday, November 10, 2010

Kisah Banjir dan Gunung Berapi





Di kala masyarakat menikmati cuti Deepavali dan mahasiswa sedang cekal menghadapi musim peperiksaan akhir, sebahagian masyarakat di Perlis dan Kedah dan sekitar Gunung Merapi,Indonesia diuji dengan ujian yang lebih besar dari Ilahi:bencana alam banjir dan letusan Gunung Merapi di Yogyakarta.

Alhamdulillah, keadaan banjir di Kedah beransur pulih dengan jumlah mangsa yang dipindahkan menurun kepada 28,208 orang daripada 6,874 keluarga yang masih berada di 70 pusat pemindahan banjir. Ujian mangsa-mangsa letusan Gunung Merapi lebih hebat dengan angka kematian sebanyak 138 sejak ia mula meletus pada 26 Oktober lalu dengan lebih 289 lagi cedera, menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan.

Sehingga kini, pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan,pertubuhan-pertubuhan,parti-parti dan NGO yang menghantar pasukan sukarelawan dan mewujudkan tabung-tabung kemanusiaan demi membantu mangsa-mangsa bencana alam ini dalam proses pemindahan dan pemulihan.

Walaubagaimanapun, timbul pula agenda lain, isu banjir 'dipolitikkan'. Pihak A menuding jari ke pihak B, pihak D mempersalahkan pihak C, pihak E dikatakan lebih banyak berbakti berbanding pihak F yang gagal menangani masalah dan banyak lagi kerenah-kerenah politik yang dipertontonkan kepada rakyat. Pada hemat saya, rakyat dan lebih-lebih lagi kita mahasiswa perlu bijak memerhati dan menilai situasi. Jangan sekadar merujuk kepada satu sumber sahaja tetapi perlu analisis keadaan dari pelbagai skop berbeza. Dalam keadaan ini, kebajikan dan keadaan rakyat perlu menjadi prioriti, sisihkan agenda kepentingan peribadi politik ke tepi.

Mahasiswa jangan hanya sekadar menjadi pemerhati dan membuat kesimpulan melulu tetapi mahasiswa perlu melibatkan diri, melakukan perubahan dan membuat penilaian secara bijaksana.

Ayuh menghulurkan bantuan tidak kira dari segi tenaga, masa,wang dan juga sumber material. Semoga kita ikhlas melakukan kebajikan kerana Nya. Semoga Allah redha dengan usaha yang telah dilakukan.

Mahasiswa Mampu Merubah!
 
MMORPG Games - MMORPG List - Video Game Music