Pages

Monday, November 29, 2010

Sehari 'Bersidang' di Parlimen


25 November 2010 –Dengan tema : ‘Bersama membina Kebersamaan’,Seminar Pemimpin Muda Malaysia yang mengumpulkan sekitar 300 pelajar yang terdiri dripada Majlis Perwakilan Pelajar IPT dan pemimpin pelajar telah diadakan di Parlimen Malaysia. Majlis yang bertempat di salah satu bangunan bersejarah ini merupakan anjuran pihak Parlimen dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti Malaysia (MAKLUM).


Majlis bermula dengan Tayangan Video Dokumentasi Jubli Emas Parlimen Malaysia (1959-2009) dan diikuti oleh Upacara Perasmian yang disempurnakan oleh Y.A.B Tan Sri Dato’ Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan perdana Menteri Malaysia bersama-sama Y.B Tan Sri Abu Zahar Ujang (Yang di-Pertua Dewan Negara) dan Y.B Datuk Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi).

Program menjadi lebih menarik dengan lawatan ke Dewan Negara dan juga ke Dewan Rakyat yang sedang bersidang. Sayang sekali peserta tidak dibenarkan untuk mengambil gambar, namun peluang untuk menjejakkan kaki ke kedua-dua dewan ini mungkin sekali seumur hidup sahaja. Taklimat ringkas berkaitan Dewan Rakyat dan Dewan Negara termasuk Yang-diPertua dan keahliannya turut diberikan. Di sini, kami berpeluang menyaksikan keadaan dalam Dewan Negara sendiri dan bagaimana persidangan dalam Dewan Rakyat berlangsung.



Gambar Hiasan: Dewan Rakyat (kiri), Dewan Negara (kanan)



Kemudian, kami dihidangkan dengan wadah ilmu yang cukup bermakna melalui tiga perbincangan panel yang dengan ahli-ahli panel jemputan yang tersohor dalam bidang masing-masing iaitu:

· 1-Sistem Pemerintahan Demokrasi Raja Berperlembagaan

1 Y.Bhg. Tan sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh

2 Y.Bhg. Datuk Johan Jaafar

3 Y.Bhg. Prof Dato’ Dr. Sidek baba

4 Y.Bhg. Dato’ Faiza bin Haji Thamby Chik sebagai moderator

· 2-Malaysia Era Transformasi

1 Y.B Datuk Dr. S. Subramaniam

2 Y.Bhg. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah

3 Y.Bhg. Dato’ Wira Dr. Affifudin bin Hj Omar

4 Y.B. Senator Datuk Akbar bin Ali sebagai moderator

· 3-Pembinaan Sebuah Negara Bangsa

1 Y.Bhg. Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim

2 Y.B. Senator Dato’ Dr. Firdaus bin Hj Abdullah

3 Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Ir. Zaini Ujang

4 Y.B Dato’ Razali Ibrahim sebagai moderator

Perbincangan-perbincangan yang diadakan ini mengupas tentang pelbagai perkara pokok seperti Perlembagaan Malaysia, Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, 4 Tonggak Transformasi Malaysia dan 5 Tonggak Pembinaan Negara Bangsa.

Seterusnya Majlis Penutup disempurnakan oleh Y.B. Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin bin Haji Mulia, Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Penganjuran program ini memberi pendedahan kepada peserta tentang pelbagai informasi berkenaan parlimen dan hala tuju pentadbiran negara. Belia seperti kita seharusnya cakna dan prihatin akan perkara dan isu-isu yang sedang berlaku dalam pihak pentadbiran negara. Kelebihan 11.9 juta belia (15-40 tahun) di Malaysia seharusnya digunakan semaksima mungkin untuk menyumbang ke arah kemajuan Malaysia. Syabas di atas usaha murni penganjuran program Seminar Pemimpin Muda ini!

Satu perkara yang perlu diberi perhatian, Pelembagaan Persekutuan Malaysia yang sedia ada kini telah dibentuk berasaskan kepada dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan. Walau bagaimanapun, ia turut mendapat ‘sentuhan’ daripada Suruhanjaya Reid pada 1956 dan diletakkan sebagai ‘undang-undang tertinggi’ Malaysia. Sewaktu tekun mendengar forum tersebut disampaikan, tiba-tiba seorang sahabat berbisik: ‘Boleh ke kalau saya nak kata tiada undang-undang tertinggi selain Al-Qur’an dan As-Sunnah’??Fikir-fikirkan…

Mahasiswa Menjana Kecemerlangan

0 comments:

Post a Comment

 
MMORPG Games - MMORPG List - Video Game Music